DARO: Perpaduan, kerjasama dan semangat kekitaan perlu menjadi teras dalam membentuk masyarakat serta modal insan berkualiti, tegas Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.
Katanya, kejayaan sebuah sekolah lahir daripada gandingan erat semua pihak yang bergerak seiring demi kecemerlangan pendidikan.
“Hakikat ini terbukti melalui pencapaian SK Hijrah Badong Daro sepanjang 25 tahun penubuhannya, hasil dedikasi guru, sokongan ibu bapa dan komitmen para pelajar.
“Kejayaan ini wajar dijadikan inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus melakar kecemerlangan,” katanya pada Majlis Penutupan Sambutan Jubli Perak Ke- 25 SK Hijrah Badong, di sini, malam tadi.
Sambutan bertemakan “Mengukir Sejarah dan Menyemai Perpaduan – 25 Tahun Inspirasi
melambangkan perjalanan sekolah ini dalam melahirkan generasi berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan tahniah kepada pihak sekolah, PIBG, guru, pelajar serta ibu bapa atas kerjasama padu menjayakan sambutan bersejarah tersebut.
