Keselesaan pelajar luar bandar wajar diberi keutamaan

DARO: Kerajaan Persekutuan diharap menyerahkan sepenuhnya peruntukan pengurusan dan pembangunan pendidikan kepada Kerajaan Sarawak.

“Ini kerana terbukti kerajaan negeri lebih efisien dan cekap dalam proses pelaksanaan serta menyelesaikan pelbagai isu pembangunan,”menurut
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Apresiasi Kecemerlangan Murid dan Graduasi Prasekolah serta Tahun Enam Sekolah Kebangsaan (SK) Sebako di sini semalam.

Menurutnya, urusan pendidikan berada di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan, namun masih tidak nampak kesungguhan dan usaha yang serius untuk membaiki kemudahan dan keadaan sekolah terutama di luar bandar.

“Lebih malang dan meresahkan ialah bila keadaan sekolah yang telah uzur turut mengalami beberapa kerosakan yang memerlukan kerja baik pulih dengan segera,”katanya.

Abdullah Saidol berkata, ini sehingga pihak sekolah tiada pilihan dan terpaksa meminta bantuan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk memohon dana dari wakil rakyat.

“Realitinya ramai wakil rakyat di pedalaman terpaksa menyalurkan dana bagi membaiki lebih 15 sekolah daif di kawasan masing-masing,” tambahnya.