Hormati kepelbagaian demi perpaduan masyarakat – Hanifah

MUKAH: Masyarakat di Sarawak menghormati kepelbagaian agama, budaya dan perayaan sebagai asas kukuh dalam mempereratkan perpaduan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib berkata, semangat kebersamaan yang dizahirkan setiap kali musim perayaan menjadikan Sarawak, khususnya Mukah, contoh terbaik keharmonian kaum di negara ini.

Beliau menegaskan kepentingan mengekalkan sikap saling menghormati, di samping memperkukuh hubungan komuniti melalui kerjasama dan budaya saling membantu demi membina masyarakat yang sejahtera, inklusif dan progresif.

Hanifah berkata demikian ketika merasmikan Festival Perarakan Krismas Mukah yang menghimpunkan lebih 5,000 pengunjung di Dataran Pehin Setia Raja, malam tadi.

Menurutnya, festival tersebut bukan sekadar acara tahunan, malah simbol perpaduan yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang untuk meraikan nilai kasih sayang, penghargaan dan keharmonian.

Ahli Parlimen Mukah itu turut mengetuai perarakan sejauh tiga kilometer sebagai simbolik pembukaan festival, disertai ribuan peserta daripada 15 kontinjen pelbagai kategori.

Festival itu turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dan hiburan, termasuk artis jemputan Afieq Shazwan, Haiza dan Ramles Walter.