Sarawak perkasakan UNIFOR, perkukuh perpaduan masyarakat berbilang agama

LIMBANG: Penubuhan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) membuktikan komitmen Sarawak dalam menjunjung prinsip keadilan serta kebebasan beragama dalam masyarakat berbilang agama.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, UNIFOR yang ditubuhkan semasa pentadbiran Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem dan diteruskan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berperanan membantu pembangunan fizikal rumah ibadat seperti gereja, tokong dan kuil di seluruh negeri.

Menurutnya, sokongan berterusan kerajaan negeri telah berjaya membina ekosistem antara agama yang kukuh dan stabil, sekali gus menjadikan Sarawak contoh perpaduan kepada negara.

“UNIFOR bukan sahaja diteruskan malah diperkasakan, dengan peruntukan dijangka ditambah tahun hadapan. Ini membuktikan Kerajaan Sarawak berteraskan keadilan dan komited membantu semua agama demi mengekalkan keharmonian masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Pra Krismas N80 Batu Danau Limbang 2025 di Dewan Serbaguna St Edmund, malam tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Dato Paulus Palu Gumbang serta Residen Limbang, Unus Tambi.

Awang Tengah menegaskan, keunikan Sarawak terletak bukan sahaja pada kepelbagaian kaum dan agama, tetapi pada amalan saling menghormati yang terus dipelihara.

Kerajaan negeri, katanya, kekal komited memastikan setiap rakyat menikmati manfaat pembangunan tanpa mengira latar belakang.