Peruntukan RM200,000 naik taraf infrastruktur SK Kampung Kupang

SARATOK: Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) menegaskan pembangunan modal insan sebagai pemacu utama bagi merealisasikan aspirasi Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri, menekankan bahawa pendidikan asas di sekolah rendah seperti SK Kampung Kupang adalah kunci membentuk tenaga kerja masa depan berpengetahuan, berkemahiran digital dan kreatif.

“Dengan sokongan masyarakat dan PIBG, kita memastikan aspirasi pendidikan berkualiti dapat dicapai, khususnya dalam ekonomi digital dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Apresiasi Pelajar Cemerlang SK Kampung Kupang Sesi 2025 dekat sini, hari ini.

Beliau mengumumkan peruntukan RM200,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) untuk menaik taraf padang dan infrastruktur sekolah. Projek kini dalam proses lantikan kontraktor dengan Majlis Daerah Saratok (MDS) sebagai pelaksana.

Selain itu, RM10,000 turut disumbangkan bagi menyokong aktiviti sekolah sepanjang 2026, dengan skema bantuan bergilir untuk 14 institusi pendidikan di kawasan DUN Kalaka, termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, dan kolej tingkatan enam.

Dalam majlis itu, Mohamad Duri menyampaikan anugerah kepada murid cemerlang akademik, sahsiah, dan kokurikulum hingga peringkat kebangsaan.

Turut hadir Guru Besar Maseri Matnor, Penghulu Misis Aris, Kaunselor Aton Tar, Ketua Kaum Majenan Jamin, Ketua Kaum Jepri Johari, dan Yang Dipertua PIBG SK Kampung Kupang.