Pemuda Parti PBB pertikaikan tindakan PETRONAS

KUCHING: Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), menyifatkan tindakan PETRONAS memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan sebagai langkah yang boleh ditafsirkan sebagai usaha mengetepikan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa di Sarawak.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti PBB, Datuk Martin Ben sehubungan itu menyuarakan kebimbangan terhadap keputusan syarikat minyak dan gas nasional itu yang memilih saluran perundangan bagi mendapatkan penjelasan undang-undang operasi di Sarawak.

Sedangkan katanya, perbincangan di antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan masih berjalan.

“Langkah tersebut dilihat sebagai cubaan mengelakkan pematuhan kepada peruntukan undang-undang negeri yang mengawal selia industri minyak dan gas di Sarawak,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Martin menegaskan, mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan di Sarawak, termasuk PETRONAS, mesti mematuhi undang-undang negeri tanpa sebarang pengecualian.

Tegasnya, prinsip kedaulatan undang-undang Sarawak perlu dihormati oleh semua pihak berkepentingan.

Walaupun menghormati peranan mahkamah sebagai institusi penyelesaian pertikaian, beliau berpandangan bahawa perbezaan pandangan berkaitan isu strategik seperti ini lebih wajar diselesaikan melalui perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah mengiktiraf Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) sebagai pengagregat gas tunggal, selain satu pengisytiharan bersama yang ditandatangani pada Mei 2025 yang mengiktiraf kedaulatan undang-undang Sarawak.

Beliau menegaskan pendirian Pemuda Parti PBB tetap berdiri teguh mempertahankan hak Sarawak berasaskan undang-undang serta sokongan tidak berbelah bagi kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dalam mempertahankan kepentingan negeri.