Bantuan makanan kepada mangsa banjir di PPS mencukupi

BINTULU: Kerajaan Sarawak mendapati pengurusan bantuan mangsa banjir yang dipindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, pada tahap memuaskan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini termasuk dari sudut penyediaan makanan mencukupi kepada mangsa banjir.

“Bantuan makanan mencukupi
malah mereka (mangsa banjir) tadi diberitahu makan satu hari lima kali,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mendengar taklimat situasi banjir di Bintulu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Datuk Nyurak Keti di PPS Dewan Suarah Bintulu, di sini, hari ini.

Selain PPS Dewan Suarah Bintulu, Abang Johari turut melawat dan menyantuni mangsa banjir di PPS Balai Raya Sebauh dan PPS Dewan SMK Sebauh.

Dalam aspek kesihatan, Abang Johari memaklumkan bahawa beberapa mangsa yang mempunyai masalah kesihatan telah menerima rawatan sewajarnya.

“Seorang mangsa yang disyaki menghidap asma telah dirujuk ke hospital akibat kekurangan peralatan perubatan di pusat pemindahan, manakala seorang lagi mangsa yang lumpuh akibat strok diberi perhatian khusus melalui kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak akan melaksanakan kerja baik pulih jalan raya yang terjejas akibat banjir selepas musim monsun ini berakhir di Sarawak

Hadir bersama Timbalan Premier merangkap pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.