Tangani banjir, sistem perparitan perumahan perlu selaras pelan induk

BINTULU: Premier Sarawak menasihati pemaju perumahan bekerjasama dengan Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) bagi mengelak banjir berlaku di kawasan perumahan di sini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan sistem perparitan kawasan perumahan itu dibangunkan selaras pelan induk yang telah ditetapkan.

“Kita tidak mahu pembangunan perumahan dibuat tanpa perancangan yang jelas kerana ia akan menyebabkan sekatan saliran dan seterusnya banjir,” katanya.

Beliau berkata selepas mendengar taklimat berkenaan situasi banjir di Bintulu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu Datuk Nyurak Keti di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Suarah Bintulu, hari ini.

Abang Johari mengakui bahawa trend banjir yang berlaku di kawasan perumahan turut dipengaruhi oleh kelemahan sistem perparitan, khususnya di kawasan perumahan lama dan baharu.

“Di beberapa kawasan perumahan baharu, parit ditutup atau ditembok, menyebabkan aliran air tersekat,” katanya.

Disamping itu, selepas lawatan dilakukan di Kampung Assyakirin, mereka melihat keseluruhan sistem perparitan hujan perlu diberi perhatian.

Sehubungan itu, katanya BDA telah diarahkan untuk mengenal pasti kawasan saliran yang tersumbat dan melaksanakan kerja pengorekan sekiranya perlu, namun usaha tersebut memerlukan kerjasama semua pihak termasuk pemilik tanah.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Majang Renggi dan ADUN Jepak Iskandar Turkee.