KUCHING: Ts. Ahmad Selihin Che Said dilantik sebagai Pengarah baharu Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak berkuat kuasa 15 Januari lalu bagi menggantikan mantan Pengarah, Datu Ir. Ts. Awang Mohammad Fadillah Awang Redzuan.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah (Operasi) JBALB menerima Nota Serah Tugas dalam majlis rasmi di Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) Sarawak, hari ini.
Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas tersebut diadakan sebagai proses rasmi penyerahan tanggungjawab kepimpinan serta bagi memastikan kesinambungan tadbir urus jabatan.
Ia turut disaksikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datu Jafri Lias.
Dalam ucapannya, Jafri merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Awg Mohammad Fadillah atas khidmat bakti serta sumbangan beliau sepanjang menjawat jawatan itu bermula 2 Januari 2024 hingga 14 Januari lalu.
Katanya, majlis ini menandakan satu peralihan kepimpinan yang teratur serta komitmen berterusan kementerian dalam memperkukuh pengurusan dan penyampaian perkhidmatan bekalan air luar bandar.
