KUCHING: Mandat rakyat, integriti dan kemampuan peribadi merupakan asas utama dalam menentukan kepimpinan Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, jawatan Premier Sarawak, atau sebelum ini Ketua Menteri, adalah hak rakyat untuk menentukannya melalui pilihan mereka dan bukannya berdasarkan kehendak individu semata-mata.
Justeru, kesediaannya untuk memimpin negeri ini bergantung sepenuhnya kepada mandat yang diberikan oleh rakyat.
“Selepas pemergian Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, parti-parti komponen dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah menyatakan sokongan agar beliau mengambil alih kepimpinan negeri.
“Mandat tersebut perlu disertai dengan penilaian terhadap potensi, latar belakang serta keupayaan seseorang sebelum diberikan tanggungjawab besar,” katanya semasa Townhall 9 Tahun Bersama YAB Premier Sarawak di Hikmah Exchange, Jalan Haji Taha di sini, malam tadi.
Beliau menjelaskan, bahawa memegang jawatan penting bermakna memikul amanah yang berat, justeru latar belakang serta peribadi seseorang memainkan peranan penting dalam memastikan tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan berkesan.
Tambahnya, integriti merupakan elemen utama dalam kepimpinan kerana sebarang kesilapan atau salah langkah boleh menjejaskan pentadbiran serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.
Mengulas mengenai perjalanan politiknya, Abang Johari berkata beliau telah berkhidmat dalam arena politik selama 43 tahun dan mengakui masanya untuk bersara akan tiba.
“Namun, apa yang lebih penting ialah memastikan Sarawak terus membangun dan maju demi menjamin masa depan negeri serta kesejahteraan rakyat,” katanya.
