RM4 bilion bangunkan kuarters kerajaan di Sarawak

GEDONG: Kerajaan Sarawak akan membina kuarters penjawat awam negeri dan Persekutuan berbentuk apartmen di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) membabitkan peruntukan RM4 bilion.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, projek itu bertujuan menyediakan kediaman yang lebih selesa dan berkualiti, khususnya kepada penjawat awam di luar bandar dan pedalaman.

“Pembinaan kuarters tersebut telah disenaraikan dalam RMK-13 dan akan dilaksanakan secara berperingkat dengan kerjasama pelbagai pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pendigitalan Klinik Kesihatan Menggunakan CCMS serta Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Gedong, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, kebanyakan kuarters sedia ada sudah uzur dan tidak lagi sesuai didiami.

Sehubungan itu katanya, kuarters berbentuk apartmen yang dilengkapi kemudahan seperti gimnasium dan kawasan rekreasi akan dibangunkan.

“Mulu, Limbang dan Bintulu antara lokasi yang dikenal pasti bagi pelaksanaan projek berkenaan,” katanya lagi.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah, Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan dan tetamu kenamaan lain.