RM10 juta bantu 142 Klinik Kesihatan di Sarawak

GEDONG: Pendigitalan perkhidmatan kesihatan di Sarawak diperkasa dengan peruntukan RM10 juta bagi melaksanakan Cloud-Based Clinic Management System (CCMS) di 142 klinik kesihatan seluruh negeri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaksanaan sistem berkenaan akan memudahkan urusan doktor dan jururawat dengan mengurangkan beban kerja pengkeranian.

“Ia sekali gus membolehkan lebih banyak tumpuan diberikan kepada rawatan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pendigitalan Klinik Kesihatan Menggunakan CCMS serta Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) di Dewan Patinggi Ali, Gedong, hari ini.

Abang Johari menambah, ia turut mendapat manfaat melalui penyimpanan rekod kesihatan secara bersepadu yang boleh diakses dengan lebih sistematik di mana sahaja mereka berada.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) masih mempunyai baki sebanyak 117 Klinik Kesihatan (KK) dan 49 Klinik Pergigian yang belum didigitalkan di Sarawak setakat ini.

Katanya, anggaran implikasi kos mendigitalkan kesemua klinik terbabit sebanyak RM16 juta.

Dengan kerjasama utuh antara kedua-dua badan kerajaan, beliau yakin KKM mampu mencari jalan untuk melengkapkan baki usaha ini demi memastikan akses kesihatan digital yang saksama kepada seluruh rakyat Sarawak.

Pada majlis itu, Dr Dzulkefly turut mengumumkan dana RM950,000 kepada KK Gedong untuk melancarkan operasi dan membeli peralatan kesihatan.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah dan Timbalan Menteri Kesihatan Dato Hanifah Hajar Taib.