Kampung Buntal dipilih projek Kampung Angkat Madani di Sarawak

KUCHING: Kerajaan menjangkakan peningkatan peruntukan bagi aspek kebajikan dan bencana sehingga 15 peratus di Sarawak dan seluruh negara tahun ini.

Ini berbanding peruntukan sebanyak RM12.3 juta untuk Sarawak manakala peruntukan keseluruhan negara mencecah RM49 juta bagi 2025.

“Ini sebagai persediaan menghadapi ketidaktentuan cuaca dan komitmen berterusan membantu rakyat,” menurut satu kenyataan sempena Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri merasmikan majlis itu di Dewan Serbaguna Kampung Buntal, di sini, hari ini.

Sementara itu, Kampung Buntal dipilih sebagai lokasi perasmian pertama Program Kampung Angkat Madani di Sarawak.

“Program ini selari dengan hasrat Perdana Menteri untuk memastikan pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan berfokus kepada keperluan rakyat,”kata kenyataan itu.

Antara projek utama dilaksanakan di Kampung Buntal ialah kerja menaik taraf Dewan Kampung, selain beberapa projek lain yang akan diteruskan di Parlimen Santubong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) lain pada masa akan datang.