Platform Inklusi Digital Universiti Swinburne perkasakan OKU

KUCHING: Pembinaan Platform Inklusi Digital yang dikemukakan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak seiring dengan visi kerajaan untuk memperkasakan Orang Kelainan Upaya (OKU) melalui teknologi dan data.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, cadangan itu dijangka membantu menilai kesan sosial dan ekonomi pelaksanaannya.

“Selain itu, ia akan membuka peluang kepada OKU untuk mengakses perkhidmatan digital dengan lebih mudah dan selamat.

“Ia selari usaha Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh usaha memperluas akses digital kepada golongan berkenaan melalui kerjasama lebih erat bersama institusi pengajian tinggi di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Fatimah menambah, ia juga akan memupuk kebolehcapaian dan keterangkuman dalam pelbagai aspek kehidupan seharian golongan OKU.

Cadangan tersebut dibentangkan oleh delegasi yang diketuai Timbalan Pro Naib Canselor (Penyelidikan) Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Profesor Dr Ida Adi Badiozaman, bersama Profesor Dr Wan Hashim Wan Ibrahim dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ketika melakukan kunjungan hormat ke pejabat beliau di sini, hari ini.