Sarawak–ESA teroka potensi kerjasama strategik

SWITZERLAND: Kerajaan Sarawak dan Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerokai potensi kerjasama dan perkongsian strategik dalam sektor angkasa menerusi Mesyuarat Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2026.

Mesyuarat semalam itu diketuai Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan) Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel bersama Ketua Pejabat Angkasa Switzerland merangkap Pengerusi ESA Dr. Renato Krpoun.

Perbincangan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama dalam pembangunan kapasiti berkaitan angkasa, pendidikan serta pembangunan ekonomi jangka panjang.

Ia menekankan keperluan membina keupayaan secara sistematik melalui pengajian universiti yang berstruktur serta latihan vokasional khususnya bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Ia bagi melahirkan tenaga kerja berkemahiran dan bersedia memenuhi keperluan industri.

Beliau menegaskan kepentingan pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai asas dalam memastikan Sarawak bersedia menghadapi industri masa hadapan termasuk sektor angkasa yang semakin berkembang dalam ekonomi global berasaskan pengetahuan.

Dalam pada itu, Dr. Renato berkongsi pengalaman ESA dalam menjalin kerjasama antarabangsa dengan beberapa negara dalam inisiatif pembangunan angkasa lepas.

Mesyuarat itu turut mencapai persefahaman bersama bahawa pendekatan bermula secara berskala kecil seperti projek satelit kecil, kolaborasi akademik dan program latihan bersasar, boleh menjadi asas yang berkesan untuk pembangunan industri angkasa lepas jangka panjang di Sarawak.

Kedua-dua pihak menyatakan kesediaan untuk meneruskan perbincangan bagi mengenal pasti peluang kerjasama selari dengan keutamaan pembangunan Sarawak serta rangka kerja kerjasama antarabangsa ESA.

Penglibatan ini mencerminkan komitmen Sarawak untuk memperluas penglibatan dalam ekosistem angkasa global melalui pendidikan, pembangunan kemahiran dan perkongsian strategik antarabangsa.