SIMUNJAN: Wanita khususnya di luar bandar perlu merebut pelbagai peluang bantuan, geran dan skim yang disediakan kerajaan dalam usaha memajukan diri.
Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, ini kerana Kerajaan Sarawak dan Persekutuan menyediakan pelbagai bantuan, geran dan skim sokongan khas untuk wanita, terutamanya wanita luar bandar dan usahawan kecil.
“Namun, saya ingin tekankan bahawa peluang tidak datang untuk kita tunggu, tetapi untuk kita harus rebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Kursus Pembuatan Kuih Alus Manis anjuran Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Tanjung Harapan, di Dewan Masyarakat Kampung Tanjung Harapan di sini, hari ini.
Rodiyah berkata, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) menawarkan bantuan antaranya
Geran Modal Pemerkasaan Wanita Sarawak sehingga RM5,000 untuk pembelian peralatan perniagaan bagi usahawan wanita kategori B40.
Selain itu, Bantuan Ketua Isi Rumah Wanita Sarawak (KIRWaS) sebanyak RM1,000 secara one-off, khusus untuk ketua isi rumah wanita termasuk ibu tunggal dalam kategori miskin dan miskin tegar.
“Peringkat Persekutuan pula, wanita boleh memohon program dan inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); selalu ada inisiatif seperti geran kepimpinan atau dana pembangunan perniagaan untuk wanita,” tambahnya.
Menurutnya, di peringkat Persekutuan ialah pinjaman mudah melalui TEKUN Nasional, termasuk skim khas TEKUNITA, serta Pelbagai skim pembiayaan dan geran melalui MARA, SME Corp dan institusi kewangan lain.
