Sistem solar hibrid rapatkan jurang pendidikan bandar, pedalaman

SONG: Usaha merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan pedalaman terus diperkukuh apabila Kerajaan MADANI melaksanakan projek Sistem Solar Hibrid di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman Sarawak.

Langkah itu bagi menjamin bekalan elektrik yang stabil dan berterusan.

Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, projek berkenaan merupakan inisiatif strategik berimpak tinggi yang menyokong agenda peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia terhadap sasaran pelepasan karbon sifar bersih.

“Pelaksanaan program itu yang bermula pada 2020 melibatkan sebanyak 121 sekolah dan dilaksanakan secara berperingkat menerusi sembilan pakej mengikut lokaliti dan daerah, bagi menggantikan penggunaan janakuasa diesel yang digunakan sejak 2010,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Projek Penyelenggaraan Sistem Solar Hibrid dan Naik Taraf Sistem Bekalan Elektrik (2025–2027), serta menyerahkan Projek Siap Sistem Solar Hibrid bagi sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak, di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Bangkit, Katibas, hari ini.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kerajaan memperuntukkan RM274.5 juta di bawah Rancangan Boleh Pinda Keempat, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi pelaksanaan projek tersebut, dengan 97 sekolah siap menjelang 2023 dan 15 lagi mula beroperasi pada 21 November 2025.

“Baki tujuh sekolah dijadual dilaksanakan pada 2026 dan dijangka siap sepenuhnya serta beroperasi pada 2027,” katanya.

Nanta berkata, pelaksanaan Sistem Solar Hibrid itu bukan sahaja menjimatkan kos operasi dan penyelenggaraan sehingga 80 peratus atau kira-kira RM90 juta setahun, malah memberi manfaat kepada lebih 3,000 murid dan 2,000 guru di sekolah-sekolah pedalaman Sarawak.

Beliau menegaskan, projek berkenaan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI dalam menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif, mampan dan berdaya saing, selain memastikan perbelanjaan awam dilaksanakan secara berhemah dan berimpak tinggi.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Katibas, Lidam Assan, Setiausaha Bahagian Pembangunan Sarawak Kementerian Pendidikan Malaysia, Mohd Radzuan Abdul Manaf.