KOTA SAMARAHAN: Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Samarahan dengan kerjasama Pejabat Pusat Khidmat ADUN Muara Tuang mengadakan perjumpaan dengan penduduk di lima kampung di kawasan ini.
Pertemuan itu bagi menyelesaikan isu tuntutan tanah yang sekian lama berlarutan.
Pertemuan hasil usaha proaktif Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato’ Idris Buang menampakkan hasil positif setelah penjelasan di Dewan Serbaguna Kampung Muara Tuang, selesai di sini, hari ini.
Penerangan disampaikan Penguasa JTS Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah kepada penduduk Kampung Empila, Kampung Meranek, Kampung Muara Tuang, Kampung Pinang dan Kampung Niup.
Dalam ucapannya, Idris menegaskan bahawa pendekatan secara bersemuka dan libat urus berterusan merupakan langkah terbaik bagi meredakan kekeliruan serta menyelesaikan isu tuntutan tanah, khususnya tuntutan bertindih, secara harmoni dan berlandaskan peraturan sedia ada.
Beliau turut menekankan kepentingan keikhlasan dan kerjasama semua pihak dalam menerima formula penyelesaian yang telah dicadangkan oleh pihak JTS Bahagian Samarahan, agar isu berkenaan dapat ditamatkan tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat.
Hasil perjumpaan itu, penuntut menyatakan persetujuan dan komitmen untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada JTS bagi mempercepatkan proses penyelesaian isu tuntutan tanah berkenaan.
Mereka turut menzahirkan terima kasih kepada Idris Buang atas kesediaan beliau turun padang dan mendengar permasalahan rakyat.
