SEBUYAU: Jambatan Batang Lupar No. 1 berharga RM848.75 juta adalah antara sembilan jambatan yang dijadual siap tahun ini, kata Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD), Datuk Ir Aidel Lariwoo.
Beliau berkata, jambatan terbabit yang merupakan jambatan terpanjang merintangi sungai di negara ini dijangka dibuka kepada orang awam menjelang akhir Mei ini.
Pembinaannya kini mencapai tahap kemajuan 94.6 peratus mengikut jadual yang ditetapkan, katanya kepada media selepas melakukan gimik simbolik ‘Final Stitching’ di tapak projek di Kampung Beliong, Sebuyau, hari ini.
Beliau berkata, dengan siapnya sembilan jambatan itu tahun ini, sekali gus memudahkan, mengurangkan masa perjalanan dari satu bahagian ke bahagian lain yang sebelum ini mengambil masa yang lama.
Jambatan Batang Lupar No.1 itu, katanya, kini berada di fasa akhir pelaksanaan dan dijadual siap sepenuhnya pada 15 Mei depan.
“Projek ini berjalan lancar mengikut jadual biarpun terdapat masalah teknikal di Tiang 52, namun masalah tersebut dapat diatasi, sebab itu kemajuan
berjalan dengan baik,” katanya.
Katanya, pembinaan Jambatan Batang Lupar No.1 merupakan antara projek infrastruktur utama negeri Sarawak yang dijangka memberi impak dalam meningkatkan jaringan perhubungan serta merancakkan ekonomi.
Jelas beliau, jaringan jalan raya di kawasan tengah dan pedalaman negeri ini akan lengkap sepenuhnya dengan siapnya jambatan-jambatan tersebut, disokong oleh Lebuhraya Pan Borneo, laluan jalan pesisir pantai serta Lebuh Raya Utama Kedua.
Turut hadir Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Dr. Cassidy Morris, Timbalan Pengarah JKR Sarawak, Ir. Wisil Lichok serta Residen Bahagian Samarahan, Mohamad Irwan Bahari Bujang.
