KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu tarikh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke- 13 tidak akan diumumkan dalam masa terdekat ini.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, walaupun PRN perlu diadakan selepas tamat tempoh penggal Dewan Undangan Negeri (DUN), namun tiada keperluan untuk mengadakannya sekarang.
“Apabila tempoh penggal berakhir, memang kita perlu mengadakan PRN, tetapi bukan dalam masa terdekat kerana tempohnya masih panjang,” katanya kepada media selepas merasmikan Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSISS) di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Menteri Kerja Raya yang juga Setiausaha Agung GPS, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, memberitahu PRN dijangka berlangsung tahun ini.
Namun, beliau menjelaskan tarikh PRN itu adalah hak prerogatif Premier Sarawak.
Untuk rekod, PRN Sarawak Ke- 12 diadakan 18 Disember 2021, dengan Sarawak mempunyai 82 kerusi DUN.
