Pembinaan jalan baharu dikaji atasi kesesakan kawasan Matang

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang menimbangkan pelbagai cadangan bagi mengatasi isu aliran trafik dan kesesakan kawasan Matang di sini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata cadangan terbabit termasuk pembinaan jalan baharu kini masih berada di peringkat kajian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan beberapa pilihan serta alternatif sedangdipertimbangkan.

“Ini termasuk pembinaan terowong bawah tanah, penukaran kepada persimpangan berlampu isyarat, penyusunan semula persimpangan sedia ada, serta cadangan menghubungkan Jalan Matang dengan Jalan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Tahun Baharu Cina kepada warga emas, orang kelainan upaya (OKU) Kawasan Matang di Dewan Serbaguna SUPP Sungai Tengah Matang di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Fadillah berkata, kajian turut dijalankan untuk pembinaan jalan alternatif dalaman dan laluan pesisir sungai, cadangan laluan baharu menghubungkan sekitar Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud cadangan pelaksanaan sistem lampu isyarat pintar.

“Semua cadangan ini masih di peringkat penilaian teknikal dan belum dimuktamadkan,” katanya.

Di samping itu, katanya Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama rapat dengan polis, dewan bandar raya serta agensi berkaitan bagi meneliti kaedah pengurusan aliran trafik, termasuk kemungkinan pelaksanaan jalan sehala di kawasan tertentu.

Beliau berkata, aspek penguatkuasaan dan disiplin pengguna jalan raya turut diberi perhatian bagi mengurangkan masalah kesesakan setempat yang sering berpunca dari parkir di tepi jalan dan aktiviti di bahu jalan.

“Kerajaan menegaskan bahawa kesesakan lalu lintas merupakan realiti yang tidak dapat dielakkan apabila sesebuah kawasan berkembang menjadi bandar,” tambahnya.

Jelasnya, situasi ini turut berlaku di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru dan ini mencerminkan pertumbuhan ekonomi serta peningkatan pemilikan kenderaan dalam kalangan rakyat.