PRN bukan keutamaan, GPS terus bekerja demi kepentingan rakyat – Fadillah

KUCHING: Penentuan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak bukan menjadi keutamaan, sebaliknya kerajaan negeri memberi penekanan kepada komitmen berterusan dalam melaksanakan tanggungjawab serta khidmat kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, GPS tidak menjadikan pilihan raya sebagai faktor penentu dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri, sebaliknya kerja-kerja kerajaan dilakukan secara berterusan demi kebajikan dan kepentingan rakyat Sarawak.

“Pilihan raya merupakan mekanisme demokrasi bagi mengembalikan mandat kepada rakyat untuk menilai prestasi serta pencapaian kerajaan sepanjang tempoh pentadbiran.

“Sehubungan itu, sama ada PRN diadakan dalam masa terdekat atau pada tarikh lain yang ditetapkan, fokus GPS tetap kepada pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Ia akan terus menjadi keutamaan tanpa sebarang perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sumbangan Tahun Baharu Cina kepada warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) di Dewan Serbaguna SUPP Sungai Tengah Matang di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir dan Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap ADUN Tupong, Dato Fazzrudin Abdul Rahman.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menjelaskan bahawa sokongan terhadap kemungkinan PRN diadakan tahun ini tidak boleh ditafsir sebagai pengumuman rasmi tarikh pilihan raya.

Katanya, dari sudut perlembagaan, tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hanya akan tamat pada Februari tahun hadapan, sekali gus memberi ruang kepada PRN diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh yang dibenarkan undang-undang.