KUCHING: Dewanita DUBS Market Pavilion diharap agar terus menjadi acara tahunan dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berjaya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ini kerana ia bukan sekadar sebuah acara jual beli, malah platform strategik yang memberi ruang kepada usahawan wanita tempatan mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka.
“Usaha sebegini amat selari dengan aspirasi kerajaan dalam memperkukuh pemerkasaan ekonomi wanita serta memacu pembangunan keusahawanan yang inklusif dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Dewanita DUBS Market Pavilion 2026 di The Hills di sini, semalam.
Fatimah sehubungan itu menggesa para vendor acara itu agar sentiasa mengekalkan kualiti produk, mengamalkan etika perniagaan yang baik serta mempamerkan tahap profesionalisme yang tinggi.
“Kepada para pengunjung pula, marilah kita bersama-sama menyokong produk tempatan sebagai tanda sokongan terhadap ekonomi komuniti dan usaha wanita,” tambahnya.
Beliau berkata, komitmen berterusan semua pihak amat diperlukan bagi memastikan agenda pemerkasaan wanita dapat direalisasikan secara berkesan dan berpanjangan.
