Tebingan Sungai Limbang perlu siap April, kontraktor diminta percepatkan projek

LIMBANG: Kerja-kerja membaik pulih projek Tebingan Sungai Limbang yang terpanjang di Sarawak perlu disiapkan selewat-lewatnya pada April tahun ini.

Tebingan sejauh 1.8 kilometer (km) itu bernilai RM120 juta dibangunkan dalam tiga fasa di bawah peruntukan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata,projek berkenaan berdepan kelewatan ekoran masalah tanah susur membabitkan projek fasa satu yang kini dalam peringkat akhir.

Katanya, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM9 juta untuk membina dan membaik pulih projek tebingan fasa satu itu.

“Pada tahun ini banyak program besar terutama Pesta Limbang yang dijangka berlangsung pada Julai tahun ini dan bakal dirasmi Premier Sarawak.

“Sehubungan itu, kita meminta agar konsultan dan kontraktor terlibat dapat menyiapkan Projek Tebingan Sungai Limbang terutama fasa satu itu pada April depan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan kerja Ke Projek Tebingan Sungai Limbang (Tanah Susur) di belakang Stesen Petronas di sini semalam.

Beliau berkata, sebahagian projek Tebingan Sungai Limbang sudah siap dan diguna pakai.