Taman Botani sehingga Reservoir dibangun kawasan rendah karbon

LKUCHING: Kuching yang terkenal sebagai bandar raya bersih dan pintar terus mengorak langkah menjadi bandar rendah karbon melalui pelaksanaan dua komponen utama pembangunan di bandar raya ini.

Pembangunan tersebut akan menghubungkan Taman Botani sehingga ke kawasan Reservoir di sini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, langkah itu sebagai usaha kerajaan memperkukuh tarikan biodiversiti dan pelancongan di Sarawak.

Katanya, pembangunan itu akan dilengkapi dengan penanaman buluh, pisang serta pelbagai spesies tumbuhan tropika yang menjadi elemen biodiversiti.

“Inisiatif ini menyediakan kemudahan menarik rekreasi kepada masyarakat dan pelancong, malah menyokong kelestarian bandar,” katanya selepas menghadiri Program ‘Walk For Health’ di Taman Botani, Petra Jaya di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, pelaksanaan projek ini sedang dijalankan yang melibatkan kerjasama beberapa agensi berkaitan termasuk Biodiversity Research Centre dan Jabatan Hutan Sarawak, khusus bagi memastikan aspek penyelenggaraan dan pengurusan kawasan dapat dilaksanakan secara berterusan.

Terdahulu, Premier ditemani anaknya, Dayang Norjihan bersama-sama Timbalan-timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian serta peserta terdiri daripada penjawat awam berjalan sejauh 2.5 kilometer (km) di kawasan Taman Botani.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, timbalan-timbalan menteri yang lain.