KUCHING: Tindakan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) membawa isu berhubung penjelasan kerangka kawal selia yang terpakai terhadap operasi petroleum syarikat itu di Sarawak disifatkan sebagai menimbulkan kecurigaan politik.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, meskipun perkara berkenaan dibawa ke mahkamah, Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memilih untuk menghormati proses perundangan dengan membenarkan mahkamah membuat keputusan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang andaian atau spekulasi di luar proses mahkamah wajar diketepikan.
“Tindakan membawa perkara ini ke mahkamah adalah inisiatif Petronas, dan bukan pihak kerajaan negeri.
“Kadang-kadang, kecurigaan kita timbul kerana dalam Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 74) individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mahkamah mempunyai pengaruh besar, termasuk kaitan dengan Petronas.
“Inilah kecurigaan politik yang timbul, walaupun kita masih berada dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program ‘Walk For Health’ Bersama Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Taman Botani, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berpendirian bahawa GPS tidak akan berkompromi dengan parti lain berhubung kerusi ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Keputusan muktamad akan ditentukan oleh Yang di-Pertua Parti PBB merangkap Pengerui GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.
Beliau juga berkata, Sarawak mampu menguruskan diri dan terus maju tanpa campur tangan pihak luar.
“Oleh itu, saya menasihatkan, pihak tertentu yang ingin mengeruhkan suasana, supaya berhati-hati,” katanya.
