KUCHING: Sejumlah RM1.2 juta geran projek kecil luar bandar (MRP) diperuntukkan kepada 95 pelbagai organisasi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.8 Satok di sini, hari ini.
Antara organisasi tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, jawatankuasa masjid dan persatuan-persatuan komuniti lain.
Peruntukan geran tersebut bagi tahun 2025.
Majlis penyampaian geran tersebut disempurnakan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy & PETROS)
merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki di Dewan Anak Seni Bandarshah, Jalan Datuk Ajibah Abol di sini.
Dalam ucapan ringkasnya, beliau berkata, geran tersebut bertujuan membantu kelangsungan operasi serta pelaksanaan aktiviti pertubuhan masyarakat, selaras dengan usaha memperkasa pembangunan komuniti.
“Peruntukan itu mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan negeri dalam menyantuni rakyat serta memahami keperluan organisasi akar umbi,” katanya.
Katanya, kerajaan akan meneruskan peruntukan geran seumpama itu pada tahun 2026 selari dengan peningkatan tanggungjawab dan keperluan masyarakat.
