Kuching bandar raya bersih,DBKU raih anugerah ASEAN Clean Tourist City

KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) sekali lagi mencatat kejayaan gemilang apabila dianugerahkan ASEAN Clean Tourist City Award bagi kategori ASEAN Tourism Standards 2026–2028, pengiktirafan berprestij di peringkat ASEAN, baru-baru ini.

Anugerah ini diberikan selepas DBKU berjaya memenuhi sepenuhnya kriteria yang ditetapkan dalam ASEAN Tourism Standards 2026–2028 serta memperoleh perakuan rasmi daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Majlis penganugerahan berlangsung pada 30 Januari lalu di Cebu, Filipina, sempena ASEAN Tourism Forum (ATF) 2026.

Hadir bagi menerima anugerah tersebut yang mewakili DBKU ialah Timbalan Pengarah Perkhidmatan Komuniti DBKU, Rudzaimeir Malek dan Ketua Bahagian Perhubungan Awam DBKU, Norhayati Bidin.

Kejayaan ini menandakan pengiktirafan pertama DBKU di peringkat ASEAN, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam memastikan Kuching Utara kekal sebagai bandar pelancongan yang bersih, selamat, mampan, dan berdaya huni.

DBKU sebelum ini turut mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan dengan memenangi ASEAN Clean Tourist City Standard sebanyak dua kali berturut-turut iaitu pada 2022–2024 dan 2024–2026.

Pencapaian berterusan ini menjadi pemangkin dalam memperkukuh tadbir urus bandar, selain meningkatkan kualiti persekitaran bandar demi kesejahteraan komuniti dan pengalaman pelancongan bertaraf antarabangsa.

Selain itu, kejayaan ini menunjukkan bahawa usaha DBKU dalam menjaga kebersihan dan kelestarian bandar tidak hanya memberi manfaat kepada penduduk tempatan, malah menarik minat pelancong serantau.

DBKU sehubungan itu merakamkan penghargaan kepada seluruh warga bandar raya Kuching atas kerjasama dan disiplin berterusan, sekali gus menjadikan bandar raya Kuching antara bandar pelancongan terbersih di rantau ASEAN.