MA63: Pelaksanaan autonomi kesihatan Sarawak masih dikaji

KUCHING: Pelaksanaan autonomi kesihatan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih memerlukan perbincangan lanjut di peringkat tertinggi sebelum sebarang keputusan diumumkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, perkara tersebut kini berada pada peringkat penelitian awal dan menunggu Mesyuarat Tertinggi MA63 yang melibatkan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Sabah dan Sarawak bagi menetapkan dasar berkaitan autonomi kesihatan.

Menurut beliau, perbincangan menyeluruh perlu dilaksanakan bagi meneliti aspek dasar, mekanisme pelaksanaan serta kaedah penyelarasan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, termasuk isu-isu berkaitan bidang kuasa dan pengurusan sistem kesihatan.

“Buat masa ini, kita masih menunggu penetapan tarikh Mesyuarat Tertinggi MA63 untuk membolehkan perbincangan terperinci dijalankan. Ia melibatkan penyelarasan antara Sarawak, Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 Peringkat Kuching di Tebingan Sungai Sarawak, malam tadi.

Hanifah turut memaklumkan bahawa beberapa cadangan berkaitan MA63 dikemukakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian.

Namun, cadangan tersebut belum dimuktamadkan dan perlu dibentangkan secara rasmi sebelum sebarang pengumuman dibuat kepada orang ramai.

Mengulas pelantikannya ke portfolio baharu, beliau menyifatkan perubahan tanggungjawab sebagai perkara biasa dalam politik.

Beliau menyatakan komitmen untuk memberi tumpuan kepada aspek pentadbiran serta penyelesaian isu melibatkan pengamal dan perkhidmatan kesihatan, termasuk usaha mencari penyelesaian terbaik melalui pengurusan dan penyelarasan yang lebih berkesan.