GPS perlu kukuh demi masa depan hak Sarawak

SIMANGGANG: Perjuangan paling utama Sarawak ketika ini adalah memastikan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus kukuh pimpinan Premier Sarawak, kata Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri dan Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita II berkata, langkah itu bagi memperjuangkan hak-hak negeri, khususnya berkaitan minyak dan gas yang sekian lama terabai.

Beliau berkata, perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk hak tanah di bawah Kanun Tanah Sarawak, hak minyak dan gas serta hak terhadap sumber bahan mentah merupakan perjuangan berterusan dan bukan sesuatu yang mudah untuk dicapai.

“Dalam perjuangan ini, kita terpaksa berhadapan dengan cabaran daripada Kerajaan Persekutuan yang kuat. Justeru, kita di Sarawak akan terus konsisten memperjuangkan hak-hak kita di bawah MA63, terutamanya hak minyak dan gas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Awal Tahun Biro Kemasyarakatan dan Sosial Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, dekat sini, malam kelmarin.

Menurut beliau, sokongan padu seluruh rakyat Sarawak amat penting bagi memudahkan kerajaan negeri berunding dan berbincang dengan Kerajaan Persekutuan dalam mempertahankan hak negeri.

“Kita perlu bersatu sebagai satu pasukan. Walau apa jua cabaran yang dihadapi, kita mesti tempuhi bersama-sama.

“Di peringkat akar umbi, perpaduan dan keharmonian mesti dijaga, elakkan perpecahan dan fokus kepada kesatuan kerana apabila kita bersatu, kita akan menjadi kuat,” jelasnya.

Sharifah Hasidah turut menegaskan bahawa kekuatan GPS dan kepimpinan tertinggi negeri akan memudahkan perjuangan menuntut hak Sarawak, selain menegaskan sokongan rakyat merupakan faktor utama untuk membolehkan Premier Sarawak terus memperjuangkan hak negeri di bawah MA63.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah berjaya melonjakkan pembangunan negeri ke tahap yang lebih tinggi, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan raya, jalan pesisir dan jambatan penghubung telah meningkatkan kesalinghubungan luar bandar.

“Pendapatan negeri juga meningkat dengan ketara, mencecah RM14.2 bilion pada tahun lalu dan dianggarkan sekitar RM13.5 bilion pada tahun ini, berbanding hanya RM4 bilion hingga RM6 bilion pada suatu ketika dahulu,” katanya.

Tambah beliau, hasil pendapatan itu disalurkan kembali kepada rakyat melalui pelbagai projek pembangunan fizikal, sosial, pendidikan dan sebagainya.

Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor; Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Premier Sarawak, Datuk Bujang Helmi Hazemi; Timbalan Ketua Cawangan PBB N.28 Lingga, Suhaidi@Roslan Los; Ketua Wanita Lingga, Sapiah Drahman dan Ketua Pergerakan Pemuda PBB Lingga, Abdul Rahim Jamil.