KUCHING: Suasana meriah dan penuh kehangatan mewarnai Sambutan Hari Lahir Peribadi Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang diraikan menerusi majlis makan malam istimewa di atas Royal Cruise, Tebingan Sungai Kuching di sini malam tadi.
Majlis makan malam istimewa itu diserikan dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar serta tetamu kenamaan lain.
Sebaik Tun Wan Junaidi bersama Toh Puan tiba kira-kira jam 8.30 malam, Royal Cruise mula menyusuri Sungai Sarawak sekali gus memberi peluang kepada tetamu menikmati panorama indah bandar raya Kuching pada waktu malam.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum para tetamu menikmati jamuan makan malam dalam suasana santai namun penuh beradat.
Turut dipersembahkan tayangan video khas yang mengimbau perjalanan kehidupan serta sumbangan Yang di-Pertua Negeri Sarawak kepada negeri dan rakyat sepanjang perkhidmatan baginda.
Selain itu, persembahan sajak istimewa oleh Toh Puan turut menyentuh perasaan dan mencuit emosi para tetamu yang hadirin sekali gus menambah kehangatan suasana majlis.
Acara kemuncak diserikan dengan upacara memotong kek sempena hari lahir Tun Pehin Sri.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar sebelum Yang di-Pertua Negeri Sarawak bersama isteri berangkat meninggalkan majlis.
