Rekod perkhidmatan GPS diyakini rakyat

LIMBANG: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Bukit Kota menyatakan kesiapsiagaan sepenuhnya untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13 yang akan datang.

Ketua Cawangan Parti PBB Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, persiapan rapi dilakukan berdasarkan pengalaman menghadapi pilihan raya sebelum ini, termasuk memperkemaskan jentera parti di setiap ranting.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, Parti PBB di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa turun padang dan berkhidmat kepada rakyat secara berterusan, bukan hanya ketika menjelang musim pilihan raya.

“Kami sudah siap siaga dan bersedia pada bila-bila masa. Pengalaman berdepan pilihan raya sejak 2006 menjadi kekuatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Sukan PBB Bukit Kota di Dewan Kampung Bunga Raya di sini, semalam.

Menurut beliau, Parti PBB telah lama menerajui kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kota dan DUN Batu Danau, sekali gus berjaya membawa pembangunan menyeluruh kepada rakyat di kawasan tersebut.

Dengan rekod perkhidmatan dan prestasi yang ditunjukkan GPS, katanya, rakyat khususnya di Limbang mampu menilai sendiri keupayaan gabungan itu dalam mentadbir dan membawa pembangunan berterusan kepada negeri.