KUCHING: Masa hadapan Sarawak tidak hanya bergantung kepada pembangunan dan pemuliharaan tetapi menggabungkan inovasi dengan corak kepimpinan yang boleh menyelaraskannya.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, hakikatnya Kerajaan Sarawak komited dalam mengukuhkan transformasi digital dengan corak kepimpinan yang mengutamakan pemuliharaan alam sekitar.
“Komitmen itu dengan memperkenalkan laman sesawang Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) FORESIGHT AI dan inisiatif E-Bike serta mewartakan Rizab Semulajadi Sungai Tapang sebagai model pembangunan bandar,” katanya semasa melancarkan Wisma Lestari Pejabat SFC Kuching di sini, hari ini.
Beliau menzahirkan rasa gembira menyaksikan SFC sebagai katalis dalam mencapai matlamat tersebut dengan menggabungkan dasar, teknologi dan impaknya di lapangan.
Kawasan Rizab Semulajadi Sungai Tapang yang diwartakan secara rasmi pada 18 November 2025, meliputi kawasan seluas 7.75 hektar, katanya, menandakan langkah strategik kerajaan dalam memulihara landskap di kawasan bandar.
Kawasan terbabit yang kini menempatkan Ibu Pejabat SFC melambangkan usaha serta matlamat memelihara flora dan fauna sambil melindungi ciri-ciri geograpi, hidrologi alam sekitar dan kesan iklim, tegas beliau.
Sejajar dengan dengan usaha pemuliharaan itu, katanya, kawasan terbabit juga boleh dijadikan sebagai makmal hidup menyokong penyelidikan saintifik, pendidikan dan amalan pemuliharaan berasaskan bukti.
FORESIGHT AI, katanya, adalah satu inisiatif menunjukkan cara kecerdasan buatan boleh disatukan bagi melindungi biodiversiti dan mengenal pasti spesies bermula dengan orkid liar.
Lebih penting lagi, ia disepadukan dengan ekosistem digital Sarawak melalui SAINS dan Pusat Data Negeri selari dengan aspirasi dasar dipacukan oleh data, sistem operasi dan tadbir urus alam sekitar pintar.
Beliau mengucap terima kash kepada Tengku Dr. Auvaroza (Auva) T. A. Ikhwan Zaidel, Pengerusi SARORSO atas kepimpinan berwawasan dalam pemuliharaan orkid.
Pendekatan berpandangan jauh yang diusahakan oleh SARORSO selari dengan penubuhan FORESIGHT AI iaitu menggunakan data, perancangan dan inovasi menghadapi cabaran dan melindungi warisan semulajadi Sarawak.
Inisiatif bersama itu adalah contoh terbaik bagaimana tradisi, sains dan inovasi boleh bekerjasama dalam melindungi alam sekitar Sarawak untuk generasi akan datang.
Beliau menggesa semua NGO, institusi penyelidikan, rakan industri, pertubuhan berasaskan masyarakat dan pemegang taruh supaya berkolaborasi dengan SFC dalam membangun dan mengukuhkan FORESIGHT AI.
