KUCHING: Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak (MYSED) merancang menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Belia bagi memperkasakan pemantauan.
Selain itu, jawatankuasa berkenaan meningkatkan kualiti program keusahawanan belia Sarawak Youth Start-up (SYStartup).
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat, berkata penubuhan tersebut akan dibincangkan lebih lanjut bersama Menteri MYSED, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, dengan sasaran untuk direalisasikan secepat mungkin.
“Sebaik ditubuh, jawatankuasa tersebut akan memperkasakan pemantauan dan juga meningkatkan kualiti program SY Startup,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat bersama rakan strategik yang melibatkan lebih 40 agensi dan pihak berkepentingan berkaitan pelaksanaan program SYStartup, di sini, semalam.
Menurutnya, pelbagai maklum balas dan cadangan daripada agensi terlibat diterima semasa mesyuarat berkenaan, termasuk Majlis Pembangunan Usahawan Bumiputera (MPUB) di seluruh Sarawak bagi menambah baik pelaksanaan program SYStartup.
Selain itu katanya, kerajaan negeri, melalui cadangan Sarawak Entrepreneur Development Committee (SEDC), sedang mempertimbangkan pembangunan startup berasaskan industri termasuk industri berat bagi menyokong sektor pembuatan, khususnya di kawasan seperti Samalaju dan Samajaya.
