Sarawak kukuhkan pengurusan tanah, berteraskan teknologi lestarikan pembangunan

BINTULU: Pengurusan tanah secara strategik, telus dan berteraskan teknologi menjadi asas untuk memastikan pembangunan Sarawak kekal mampan, inklusif serta berdaya tahan terhadap cabaran masa depan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, tanah bukan sekadar aset fizikal, sebaliknya warisan turun-temurun, sumber kehidupan serta lambang identiti masyarakat yang menjadi tunjang pembangunan ekonomi dan keharmonian sosial negeri ini.

Menurut beliau, pentadbiran tanah perlu dilihat sebagai strategi pembangunan jangka panjang yang menentukan hala tuju ekonomi, sosial dan kelestarian alam sekitar Sarawak.

“Dalam menghadapi pembangunan pesat dan perubahan global, kita berdepan cabaran semakin kompleks termasuk isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), urbanisasi, perubahan iklim serta tekanan terhadap alam sekitar.

“Pendekatan kita mesti seimbang antara pembangunan dan keadilan sosial supaya kemajuan tidak meminggirkan rakyat serta tidak mengorbankan warisan nenek moyang,” katanya pada Majlis Landas Summit 2026 di sini, hari ini.

Justeru, kerajaan negeri katanya komited mempercepat pengukuran tanah NCR, memperkukuh dokumentasi, meningkatkan ketelusan serta memastikan pertikaian diselesaikan secara adil.

Dalam masa sama, beliau menekankan kepentingan perancangan guna tanah yang sistematik dan bersepadu bagi menangani tekanan pembangunan bandar, permintaan perumahan serta keperluan komersial tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Pada majlis itu, Premier melancarkan Pelan Strategik JTS 2026–2030 yang dirangka selaras Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).

Pelan tersebut merangkumi lima teras strategik, 26 strategi dan 104 inisiatif meliputi tadbir urus tanah, perundangan, pengurusan projek, teknologi digital serta pembangunan kapasiti organisasi.

Selain itu, beliau turut merasmikan Dewan Premier Sarawak di Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia secara maya sebagai penghargaan terhadap sokongan Kerajaan Sarawak dalam memperkasa penyelidikan dan pembangunan, termasuk kolaborasi makmal satelit bersama Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak.

Sementara itu, Pengarah Tanah dan Survei Sarawak, Datu Awang Zamhari Awang Mahmood berkata, pendaftaran suratcara transaksi tanah terus merekodkan kecemerlangan dengan pencapaian 100% pada hari sama pendaftaran dengan sebanyak 89,933 suratcara didaftarkan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 81,674 suratcara atau 90.8% berjaya didaftarkan dalam tempoh empat jam pertama dari masa dikemukakan.

Transaksi itu merekodkan nilai berjumlah RM30.85 billion dengan transaksi Cagaran Tanah, merekodkan nilai terbesar iaitu RM15.46 billion diikuti oleh pindahmilik tanah RM7.96 billion, katanya.