DARO: Usaha kerajaan memperkukuh jaringan infrastruktur luar bandar terus diperkasa menerusi pelaksanaan projek pembinaan jalan bernilai RM69.9 juta di Sungai Lengan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata pembinaan jalan amat penting bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih selesa, selamat dan efisien.
Menurutnya, jaringan jalan raya yang baik bukan sahaja memudahkan pergerakan harian penduduk, malah membuka peluang ekonomi baharu termasuk dalam sektor pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana.
“Pembangunan infrastruktur merupakan asas kepada kesejahteraan rakyat serta pertumbuhan ekonomi, khususnya di luar bandar,” katanya ketika merasmikan majlis pecah tanah projek berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, projek tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) dengan siling projek berjumlah RM80 juta, manakala nilai kontrak yang diluluskan ialah RM69.9 juta.
Konsultan projek ialah Konsortium Malaysia, manakala kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan pembinaan ialah COTT Development Sdn. Bhd.
Projek berimpak tinggi itu melibatkan pembinaan jalan yang menghubungkan Rumah Jingga, David Multifarm, Rumah Seli, Rumah Guang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Singat di Sungai Lengan, Bahagian Sibu.
Pelaksanaan projek berkenaan dijangka meningkatkan kemudahan perhubungan serta merancakkan pembangunan sosioekonomi penduduk setempat, khususnya di kawasan Sungai Lengan dan sekitarnya.
