Tindakan tegas terhadap kontraktor gagal capai prestasi ditetapkan

KUCHING: Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi (MUT) diperuntukkan RM1.05 bilion bagi tahun 2026 untuk melaksanakan projek utiliti dan telekomunikasi di seluruh Sarawak.

Ia melibatkan Pembiayaan Alternatif dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, semua agensi perlu melaksanakan projek yang diluluskan dengan segera serta mematuhi peruntukan ditetapkan.

Pada masa sama, beliau turut menekankan keperluan pemantauan berterusan di tapak projek bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani dengan cepat.

“Tindakan tegas wajar diambil terhadap kontraktor yang gagal mencapai tahap prestasi ditetapkan,” katanya pada Majlis Amanat Bersama Menteri Utiliti dan Telekomunikasi di sini, hari ini.

Julaihi optimis 77 program dalam Pelan Tahunan 2026 dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan pencapaian 99 peratus Pelan Tahunan 2025.

Sementara itu, menurut beliau, kapasiti penjanaan elektrik negeri kini mencecah 5,898 Gigawatt (GW) dan disasarkan meningkat kepada 10GW menjelang 2030 serta 15GW menjelang 2035 dengan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada sumber tenaga boleh baharu.

Dalam sektor bekalan air katanya, liputan keseluruhan kini mencapai 85.6 peratus dengan peruntukan RM810.6 juta disediakan bagi pelaksanaan projek tahun ini termasuk program menaik taraf dan penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar Non-Revenue Water (NRW).

Mengenai telekomunikasi pula, beliau berkata liputan internet di Sarawak mencapai 94.5 peratus setakat 2025 dengan usaha penambahbaikan terus dipergiat melalui pelaksanaan JENDELA fasa kedua serta inisiatif menaik taraf rangkaian gentian optik, khususnya di kawasan ‘blind spot’ sepanjang laluan utama negeri.