KUCHING: Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Sarawak bagi tahun 2026 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 17 Februari ini mulai jam 10 pagi hingga 2 petang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian berkata, majlis tersebut bakal diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau menjelaskan, sambutan berkenaan dianjurkan sebagai wadah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum serta memperkukuh semangat perpaduan yang menjadi tunjang keharmonian negeri ini.
“Penganjuran acara kebudayaan secara bersama mencerminkan sikap saling menghormati dan kefahaman antara komuniti, sejajar dengan identiti Sarawak yang berbilang etnik dan budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media berkaitan penganjuran program itu di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut menjemput orang ramai hadir memeriahkan sambutan berkenaan.
Katanya, nilai keterangkuman dan kebersamaan yang dipamerkan melalui sambutan tersebut turut menyumbang kepada kestabilan sosial serta kemajuan berterusan negeri.
