Kerajaan Sarawak sasar 10,000 penerima komputer riba percuma tahun ini

KUCHING: Kerajaan Sarawak menyasarkan seramai 10,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima komputer riba percuma pada tahun ini dalam usaha memperkasakan agenda pendidikan digital.

Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata langkah ini susulan kejayaan fasa awal program dua tahun lalu pada 2024 dan 2025 memanfaatkan seramai 20,009 pelajar IPT membabitkan peruntukan mencecah RM61 juta.

Jelas beliau, pemberian fasa kedua tahun ini bermula dengan lebih kurang 5,700 pelajar dikreditkan baucar pembelian komputer riba berkenaan melibatkan kos RM17 juta.

“Program ini merupakan kumpulan kedua yang dilaksanakan menyaksikan kumpulan pertama, pengagihan dibuat pada 2025 melibatkan lebih 5,000 penerima.

“Pada hari ini, sebanyak lebih 5,000 lagi laptop diagihkan kepada penerima baharu.

“Secara keseluruhan bagi tahun 2025 sahaja, termasuk pengagihan terbaharu ini, jumlah peruntukan ialah kira-kira RM30 juta dan pada tahun lalu kerajaan telah mengagihkan laptop dengan nilai peruntukan keseluruhan sebanyak RM28.7 juta,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, di Kompleks Satria Pertiwi, di sini, hari ini.

Dalam kunjungan itu, Abang Johari turut menyempurnakan simbolik penyerahan kepada lima pelajar iaitu Nursyaridah Aleeyah Mohd Ali dan Muhammad Halqim Masrah dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Karen Bong Kai Hui dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, Jayviques Paran dari Univerisiti Kolej i-CATS dan Elister Edwards Erim dari Politeknik Kuching Sarawak.

Dalam pada itu, Fazzrudin yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sarawak, menambah selain pemberian komputer riba percuma, Kerajaan Sarawak turut menyediakan inisiatif lain dalam usaha membantu anak-anak Sarawak melanjutkan pelajaran mereka termasuklah baucar buku percuma, bantuan kewangan khas, program perkhidmatan pengangkutan percuma pelajar sekolah serta bantuan pakaian seragam sekolah.

Menyentuh mengenai Inisiatif Graduan Pulang Sarawak (IGPS), beliau memberi jaminan bahawa program berkenaan akan diteruskan pada tahun ini.

“Kita memperuntukkan sebanyak RM8 juta bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Berdasarkan unjuran, 22,000 perjalanan setahun dan dianggarkan melibatkan sekitar 10,000 hingga 11,000 pelajar secara keseluruhan, katanya.