Kompleks Sukan Mini Selangau dilengkapi prasarana moden, bakal siap 2027

SELANGAU: Kompleks Sukan Mini Selangau akan dibina bagi menyediakan kemudahan sukan moden kepada masyarakat luar bandar.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek bernilai RM11.5 juta itu tertangguh selepas pandemik Covid-19 itu kini diteruskan dengan kontraktor baharu dan dijangka siap pada November 2027.

“Kompleks ini dijangka dilengkapi trek larian, padang bola sepak mengikut spesifikasi pertandingan serta beberapa fasiliti sokongan lain. Terdapat juga cadangan penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut keperluan komuniti setempat,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Kompleks Sukan Mini Selangau, hari ini.

Beliau turut menekankan kepentingan kadar sewaan fasiliti yang berpatutan agar tidak membebankan penduduk luar bandar, khususnya belia.

“Kita tidak mahu kemudahan yang dibina ini sukar diakses kerana kos sewaan tinggi. Hasrat kita adalah memastikan anak-anak kampung dapat menggunakan fasiliti ini untuk aktiviti sukan tanpa halangan kewangan,” ujarnya.

Katanya, kemudahan itu kelak diselia Perbadanan Sukan Sarawak, manakala kerja naik taraf fasiliti sukan lain turut giat dijalankan sebagai persiapan menghadapi Sukan SEA 2027.

“Antara fasiliti terlibat termasuk stadium utama negeri, lapangan sasar menembak, gelanggang skuasy, tenis, renang serta beberapa venue lain yang akan diperkukuh bagi memenuhi piawaian pertandingan,” katanya.

Beliau yakin semua persiapan akan berada pada landasan tepat sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan sebelum September 2027 bagi memastikan penganjuran sukan itu berjalan lancar.