Tun Dr Wan Junaidi hadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berangkat ke Istana Negara bagi menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) Kali Ke-271, hari ini.

Keberangkatan tiba kira-kira jam 10.30 pagi dan disambut oleh Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini, serta Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang hadir mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mesyuarat tersebut menghimpunkan Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertua Negeri bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan dasar serta kepentingan negara selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Kehadiran Sarawak dalam persidangan itu mencerminkan komitmen berterusan negeri untuk mendukung institusi Raja Berperlembagaan sebagai teras sistem pemerintahan negara.

Sesi perbincangan berlangsung dalam suasana rasmi, tertib dan harmoni dengan penekanan terhadap semangat persefahaman antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Tun Pehin turut merakamkan penghargaan kepada pihak Istana Negara atas pengurusan mesyuarat yang lancar dan teratur.