Dr Annuar puas hati projek Rumah Sebastian, Jalan Oya

SIBU: Pelaksanaan beberapa Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Rumah Sebastian, Batu 5, Jalan Oya menunjukkan perkembangan baik dan lancar mengikut jadual.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, beliau berpuas hati dengan kemajuan fizikal projek tersebut untum meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Antara projek yang siap sepenuhnya termasuk kerja-kerja membaiki serta membesarkan ruai rumah panjang yang melibatkan peruntukan sebanyak RM350,000, selain projek baik pulih rumah individu di sekitar kawasan berkenaan yang berjumlah RM240,000.

Kemudahan penduduk di situ turut diperkasakan dengan pembinaan tandas awam baharu yang kini sudah sedia untuk digunakan.

Annuar menegaskan beliau mahu melihat semua baki kerja diselesaikan mengikut garis masa yang ditetapkan, khususnya sebelum sambutan Hari Gawai.

Jelas beliau, penyelesaian segera itu penting bagi memastikan masyarakat di Rumah Sebastian dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan sempurna semasa musim perayaan nanti.

Terdahulu, beliau melakukan tinjauan tapak diiringi Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayed Azmi Sayed Junaidi serta Ahli Majlis Perbandaran Sibu, Kaunselor Raden Khairul.

Turut hadir bersama ialah Tuai Rumah Sebastian serta barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).