KUCHING: Latihan intensif kepada guru dalam bidang teknologi perlu diperluas bagi memastikan sistem pendidikan negeri terus relevan dengan perkembangan semasa.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh pada Majlis Penutupan Bengkel Training of Trainers (ToT) TEGAS Think & Thinker (T&T) Mini Lab di sini, hari ini.
Menurut beliau, guru memainkan peranan penting dalam mencorakkan minat dan kecenderungan pelajar terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi sejak di bangku sekolah lagi.
“Justeru, mereka perlu dilengkapi dengan kemahiran praktikal agar mampu membimbing pelajar meneroka bidang seperti robotik dan pengaturcaraan,” katanya.
Tambah Len, perubahan pesat dunia digital termasuk penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam pendidikan memerlukan pendekatan pengajaran yang lebih dinamik.
Guru katanya bukan sahaja perlu memahami teknologi tersebut, malah bijak menggunakannya secara beretika dan bertanggungjawab.
Beliau menambah, kejayaan sekolah dari kawasan pedalaman yang mampu meraih pengiktirafan di peringkat antarabangsa membuktikan potensi pelajar Sarawak setanding dengan pelajar luar negara apabila diberi peluang dan sokongan sewajarnya.
