Program Ihsan Ramadan DUN Satok

KUCHING: Jelajah Ramadan Dewan Undangan Negeri (DUN) Satok bermula dengan mengagihkan sumbangan kepada golongan memerlukan ke masjid dan surau di kawasan N8 malam tadi.

Inisiatif tahunan itu bertujuan membantu golongan sasar di kawasan DUN Satok dimulakan di Surau Bandarsah, Kampung Datuk Ajibah Abol di sini, malam tadi.

Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan Petros) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Datuk Ibrahim Baki.

Pada majlis itu, seramai 30 penduduk menerima sumbangan untuk membantu mereka meringankan beban menyambut Ramadan dan Aidilfitri nanti.

Menurut Ibrahim, Program Jelajah Ramadan dan Ihsan Ramadan itu merupakan usaha berterusan untuk menyantuni rakyat di seluruh kawasan DUN Satok.

“Ramadan adalah bulan untuk masyarakat memperkukuhkan ukhuwah, membantu golongan memerlukan dan memperbaiki diri,” katanya.

Katanya, kepentingan mengukuhkan perpaduan, hidup harmoni serta saling memaafkan diutamakan demi kesejahteraan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau menzahirkan rasa sedih atas pemergian Ketua Ranting Bandarshah, Allahyarham Naz-Ismadie Khalid semalam yang disifatkannya sebagai seorang sahabat seperjuangan yang lama bersama beliau dalam membela masyarakat di kawasan Satok.

Beliau mengajak hadirin untuk sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham Naz Ismadie dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

Inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan kepimpinan DUN Satok dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.