Ringankan beban, 600 penerima zakat Parlimen Santubong terima bantuan

KUCHING: Seramai 600 penerima zakat dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, DUN Pantai Damai dan DUN Demak Laut dalam kawasan Parlimen Santubong dikenal pasti untuk menerima bantuan pada tahun ini.

Selain itu, sebanyak 1,033 bakul makanan turut disumbang oleh Yayasan Kebajikan Negara, PEKEMA dan PETRONAS.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat merangkap Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara Dato Sri Nancy Shukri berkata, bakul makanan akan disalur kepada penerima bantuan yang dikenal pasti.

Nancy berkata demikian semasa merasmikan program Mindness Tours Kaunseling Kasih PSSS- Kamek Nengar Kamek Nulongg dan penyerahan zakat serta bakul makanan kepada golongan asnaf bagi Zon Bako di Dewan Serbaguna Kampung Selabat Demak Laut di sini, pagi ini.

Bantuan seperti ini tambah Nancy bukan sekadar membantu memenuhi keperluan harian, tetapi juga memberi harapan dan kekuatan kepada masyarakat.

Ia juga mencerminkan usaha berterusan kerajaan dan rakan strategik untuk memastikan tiada siapa yang terpinggir, dan setiap komuniti terus dibantu dan diperkasakan.

Bagi Zon Bako,seramai 77 penerima asnaf daripada 11 kampung menerima bakul makanan daripada Yayasan Kebajikan Negara.