Mobilasi kakitangan JKM di seluruh negara

KUCHING: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan melaksanakan mobilasi kakitangan bagi membantu mangsa bencana di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, ini membabitkan seramai 4, 785 pegawai dan kakitangan serta seramai 155 kaunselor atau pegawai psikologi JKM seluruh negara.

“Kakitangan JKM akan melaksanakan tugasan berdasarkan prinsip dan etika kerja sosial dan sentiasa berhemah dengan semua mangsa bencana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Mindness Tour: Kaunseling Kasih PSSS “Kamek Nengar, Kamek Nulong” dan Serahan Bakul Makanan anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di Dewan Serbaguna Kampung Selabat di sini, hari ini.

Nancy berkata, mobilisasi itu juga membabitkan seramai 5, 744 Sukarelawan JKM dan 976 Psychological Support Team ( PST) dengan tugasan pendaftaran mangsa, agihan bekalan keperluan dan makanan, kesihatan, kebersihan, keselamatan dan aktiviti.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi YKN berkata, seramai 600 penerima zakat di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Tanjong Datu, Pantai Damai dan Demak Laut dikenal pasti untuk menerima bantuan tahun ini.

“Sebanyak 1,033 bakul makanan disumbangkan oleh Yayasan Kebajikan Negara, PEKEMA dan PETRONAS,” katanya.

Menurutnya, di Kampung Selabat dan kawasan sekitarnya, seramai 77 penerima asnaf daripada 11 kampung menerima bakul makanan daripada YKN
sebagai tanda keprihatinan dan sokongan berterusan.