ASAJAYA: Seramai 100 penerima menerima sumbangan bakul makanan menerusi Program Harapan Ramadan YADIM–CIMB Islamic di sini.
Penerima terdiri daripada saudara kita dan asnaf di sekitar Daerah Asajaya menerima sumbangan di Masjid An Najah.
Sumbangan disampaikan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.
Dalam ucapannya, beliau berkata usaha seperti ini mencerminkan komitmen berterusan pihak korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu golongan memerlukan dalam bulan Ramadan.
Program tersebut merupakan kolaborasi di antara Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan CIMB Islamic Bank Berhad, sekali gus memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memperluas agenda kebajikan masyarakat.
Sementara itu, Pengarah YADIM Negeri Sarawak, Awang Dulhadi Awang Mat, bantuan kali ini melibatkan penerima dari lapan kampung di daerah berkenaan, dengan sebahagian besar terdiri daripada saudara baharu.
Selain penyerahan sumbangan, program turut diserikan dengan Ceramah Ihya Ramadan bertajuk “Ramadan: Madrasah Rohani Ummah” yang disampaikan Ustaz Wardi Azman dari Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS).
