KUCHING: Bazar Ramadan SukmaRia 2026 anjuran e-Mart Xpress Sukma Ria bersama rakan kolaborasi Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) kembali memeriahkan suasana Ramadan tahun ini dengan penyertaan seramai 101 penjaja yang menawarkan pelbagai juadah berbuka.
Dari jumlah tersebut, 77 merupakan penjaja makanan, 16 penjaja minuman dan lapan penjaja makanan panggang bermula 19 Februari hingga 20 Mac 2026 dan masa operasi bermula jam dua petang hingga tujuh petang setiap hari.
Majlis perasmian disempurnakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman.
Penganjuran Bazar Ramadan Sukma Ria bukan sahaja memberi peluang kepada para usahawan kecil dan sederhana menjana pendapatan sepanjang bulan Ramadan, malah menjadi platform memperkukuh hubungan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.
Sebagai langkah keprihatinan terhadap keselesaan pengunjung, DBKU turut membuka kawasan tempat letak kereta di Dewan Serbaguna Taman Sukma bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan bazar.
