KUCHING: Bau harum kuih-muih tradisional, warna-warni pakaian dan riuh rendah pengunjung menjadikan Majma’ Raya Fes 2026 tempat wajib dikunjungi sepanjang Ramadan hingga malam Aidilfitri.
Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abg Mohd Shibli berkata, festival ini menghimpunkan 138 gerai usahawan tempatan, sekali gus menghidupkan suasana perayaan di Kuching.
“Festival ini menawarkan pelbagai produk termasuk pakaian, aksesori, kuih-muih tradisional dan kelengkapan Aidilfitri.
“Ia bukan sekadar bazar, tetapi juga platform strategik bagi memacu ekonomi mikro serta membuka peluang kepada usahawan kecil dan sederhana memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat,” katanya pada majlis perasmian hari ini.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Dayang Norjihan, anak kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dengan kehadiran Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha.
Sementara itu, Abg Mohd Shibli berkata, Majma’ Raya Fes memberikan peluang kepada usahawan baharu dan sedia ada untuk meningkatkan jualan, terutama menjelang musim perayaan.
“Festival ini membantu mereka memasarkan produk secara langsung kepada pelanggan dan memberi impak ekonomi yang nyata,” katanya.
