ASAJAYA: Kos penganjuran Sukan SEA di Sarawak meningkat bukan kerana pembaziran, tetapi untuk memastikan kemudahan sukan lama dinaik taraf agar selaras dengan standard antarabangsa bagi acara yang bakal diadakan.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sebahagian besar fasiliti sedia ada sudah berusia dan memerlukan pembaikan menyeluruh sebelum temasya berlangsung, bagi menjamin keselesaan atlet dan penonton.
“Sebagai tuan rumah bagi 17 acara sukan termasuk majlis pembukaan rasmi, kami perlu memastikan semua venue berada pada tahap bertaraf antarabangsa.
“Kos naik taraf stadium dan gelanggang adalah berasingan daripada kos penganjuran sebenar,” katanya selepas merasmikan Bazar Ramadan di Pusat Penjaja Majlis Perbandaran Kota Samarahan, Tambirat, hari ini.
Abdul Karim menjelaskan, hampir semua venue sukan seperti skuasy, tenis, wushu dan petanque memerlukan penambahbaikan, termasuk penyediaan tempat duduk lebih selesa, pembinaan lapang sasar menembak dan kemudahan sokongan lain bagi memenuhi piawaian kejohanan.
Kerja naik taraf katanya, turut melibatkan pengambilan tanah dan penilaian semula oleh konsultan teknikal bagi memastikan setiap kemudahan mematuhi spesifikasi antarabangsa.
Menurutnya, langkah ini merupakan pelaburan jangka panjang untuk Sarawak.
